Isnin, 29 Ogos 2011

Zun Nun Al-Mishri : Kala Jengking, Katak dan Ular

Sungai Nil yang terletak di Mesir
Cerita Orang Soleh

Dikatakan, bahawa Zun Nun Al-Mishri r.a (seorang wali terkenal) pernah bercerita, katanya:

Ketika saya bersiar-siar di tepi Sungai Nil, melihat kenikmatan dan keindahan ciptaan Tuhan yang Maha Agung, saya telah terserempak dengan seekor kala jengking yang besar merayap dengan cepatnya.



Saya segera mencari batu untuk membunuhnya, akan tetapi kala jengking itu adalah lebih cepat daripadaku. Ia berlari dengan ligatnya unutk menyelamatkan dirinya hingga akhirnya ia terjatuh ke dalam Sungai Nil.

Tiba-tiba, muncul seekor katak di atas permukaan air tersebut, maka segeralah sang kala jengking itu melompat ke atas belakangnya, maka sang katak pun berenang-renang segera menuju ke arah pantai Sungai Nil di sebelahnya. Apabila sampai saja sang katak disitu, kala jengking itu pun melompat pula naik ke atas daratan, lalu menghilang.

Sementara saya memerhatikan telatah katak dan kala jengking, saya turut berlari-lari meniti jambatan hingga saya sampai ke tebing sungai yang berhadapan.

Saya mencari-cari kala jengking itu dari bekas-bekas jalannya, sehingga saya tiba ke sebuah pondok kecil. Saya melihat ke dalamnya, dan didapati ada seorang lelaki yang sedang mabuk, tidak sedarkan diri lagi dan terbaring di atas tanah. Ketika itu juga saya lihat ada seekor ular yang hendak mematuk orang mabuk itu, maka tiba-tiba sang kala jengking tadi datang dan menyengatnya hinggalah ular itu mati.

Saya lebih takjub lagi melihat perkara yang berlaku ini. Lalu saya bersyukur kepada Allah Ta'ala yang telah mengelakkan saya dari membunuh kala jengking tadi. Kalau tidak, tentulah lelaki yang mabuk itu akan dipatuk ular tadi. Semuanya ada hikmahnya!

Saya pun mengejutkan orang mabuk itu. Dia tersedar dari tidurnya, dan sebaik sahaja dia lihat ada seekor ular di sampingnya, lalu dia bangun terperanjat, ingin melarikan diri, maka saya menahannya seraya berkata:
"Jangan takut! Ular itu sudah mati," kataku.

"Sudah mati?" katanya. "Bagaimana ia boleh berada disini?"

Saya pun menceritakan segala yang berlaku antaraku dan kala jengking itu, dan segala yang saya saksikan ketika baru sampai di pondok itu. Lelaki itu kagum mendengar ceritaku dan berasa insaf atas perbuatan jahatnya.

Lalu dia mengangkat kepalanya ke arah langit, seraya bermunajat dengan air matanya jatuh berderai, katanya:

"Begitu rahmat Engkau terhadap hamba-Mu! Aku yang selalu menderhakaiMu, Engkau selamatkan aku dari bahaya yang boleh membinasakanku, padahal aku mabuk dan sedang melanggar perintahMu, Engkau selamatkan aku dari bahaya yang boleh membinasakanku, padahal aku mabuk dan sedang melanggar perintahMu. Betapa Engkau memberikan rahmatMu kepada orang yang mentaatiMu, orang yang selalu menjaga segala perintahMu? "Sememangnya manusia ini tidak tahu mengenang budi!"

"Ya Tuhan Maha Agung Maha Mulia! Aku berjanji kepadaMu, bahawa aku akan menjaga diriku, dan tidak akan menderhakaiMu lagi selepas hari ini!

Kemudian lelaki itu berpaling kepadaku dan berkata:

"Engkau siapa?"

"Aku Zun-Nun," jawabku.

"Terima Kasih setinggi-tingginya Zun-Nun. Kerana ceritamu ini aku menjadi insaf dan aku akan kembali ke jalan Tuhanku."

Lelaki itu berlalu pergi, dan perasaan taubat kelihatan di wajahnya. Dia telah mendapat taufiq dari Allah, mudah-mudahan dia menjadi orang yang soleh.


Ditaip semula dan diubahsuai daripada 'Kitab Mukhtasoru Raudhatur Riyahin fi Manaqibi Solihin', karangan Abu Mazaya Al-Hafiz

Tiada ulasan:

Catat Ulasan